KUCHING: Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) semalam menolak peletakan jawatan Presidennya, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam dan Setiausahanya, Datuk Sim Kheng Hui.
Keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa berkenaan bermesyuarat hampir tiga jam di Ibu Pejabat SUPP di sini, pagi semalam.
Berikutan keputusan CWC itu, Dr Chan, yang tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau dan Sim kekal memegang jawatan masing-masing sehingga Mesyuarat Agung SUPP yang dijadual berlangsung Disember.
Bendahari SUPP, Datuk David Teng, menjelaskan kedua-dua pemimpin kanan itu perlu terus bersama parti dan pada masa sama, menerima kekalahan SUPP pada Pilihan Raya Negeri Ke-10, Sabtu lalu.
"CWC SUPP memutuskan barisan kepemimpinan sedia ada perlu dikekalkan walaupun kita sudah menerima surat peletakan jawatan Presiden dan Setiausaha Agung. Ini bermakna Dr Chan dan Sim akan meneruskan tugas masing-masing.
"Bagaimanapun, kita tidak akan memaksa Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, mengekalkan jawatan Timbalan Ketua Menteri yang disandang SUPP melalui Dr Chan, diserahkan kepada pemimpin kita yang menang pada pilihan raya lalu," katanya di sini, semalam.
Teng berkata, berikutan kemenangan calon Bumiputeranya, SUPP akan mencadangkan supaya mereka dilantik mengisi jawatan dalam barisan Kabinet Negeri bagi menggantikan dua menteri muda yang tewas.
"Kita sudah mengarahkan semua cawangan SUPP mengatur kembali struktur mereka dan melakukan apa saja yang terbaik bagi mengukuhkan kembali kedudukan parti sebagai persediaan menghadapi kemungkinan pilihan raya selepas ini.
"Calon Bumiputera yang menang akan diberi keutamaan mengambil alih jawatan di dalam barisan kabinet negeri selepas dua menteri muda yang tewas," katanya.
Mengulas mengenai khabar angin mengatakan parti itu akan meninggalkan Barisan Nasional (BN), Teng menegaskan, perkara itu tidak pernah timbul dan ia tidak dibincangkan pada mesyuarat CWC berkenaan.
"Isu meninggalkan BN tidak pernah timbul kerana kita tidak mahu hanya ‘cuci tangan’ selepas kekalahan ini. Kita akan melakukan apa saja termasuk mengubah strategi sebelum ini, bagi memastikan sokongan rakyat kembali kepada SUPP.
"Kita juga menolak laporan mengatakan Dr Chan akan dilantik kembali sebagai Timbalan Ketua Menteri melalui lantikan terus kerana peraturan menetapkan hanya mereka yang dipilih pada pilihan raya boleh dilantik menjawat jawatan itu," katanya.
No comments:
Post a Comment